KISAH BERPISAHNYA ROH DARI JASAD
Dalam
sebuah hadith daripada Aisyah r.a katanya, "Aku sedang duduk bersila di
dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W datang dan masuk sambil memberi salam
kepadaku. Aku segera bangun kerana menghormati dan memuliakannya sebagaimana
kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam rumah. Nabi S.A.W bersabda,
"Duduklah di tempat duduk, tidak usahlah berdiri, wahai Ummul
Mukminin." Maka Rasulullah S.A.W duduk sambil meletakkan kepalanya di
pangkuanku, lalu baginda berbaring dan tertidur.
Maka
aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku dapat 19 rambut yang sudah putih.
Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku berkata, "Sesungguhnya baginda akan
meninggalkan dunia ini sebelum aku sehingga tetaplah satu umat yang
ditinggalkan olehnya nabinya." Maka aku menangis sehingga mengalir air
mataku jatuh menitis pada wajah baginda.
Baginda
terbangun dari tidurnya seraya bertanya, "Apakah sebabnya sehingga engkau
menangis wahai Ummul Mukminin?" Masa aku ceritakan kisah tadi kepadanya,
lalu Rasulullah S.A.W bertanya, "Keadaan bagaimanakah yang hebat bagi
mayat?" Kataku, "Tunjukkan wahai Rasulullah!"
Rasulullah
S.A.W berkata, "Engkaulah katakan!," Jawab Aisyah r.a : "Tidak
ada keadaan lebih hebat bagi mayat ketika keluarnya mayat dari rumahnya di mana
anak-anaknya sama-sama bersedih hati di belakangnya. Mereka sama-sama berkata,
"Aduhai ayah, aduhai ibu! Ayahnya pula mengatakan: "Aduhai
anak!"
Rasulullah
S.A.W bertanya lagi: "Itu juga termasuk hebat. Maka, manakah lagi yang
lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada hal yang
lebih hebat daripada mayat ketika ia diletakkan ke dalam liang lahad dan
ditimbuni tanah ke atasnya. Kaum kerabat semuanya kembali. Begitu pula dengan
anak-anak dan para kekasihnya semuanya kembali, mereka menyerahkan kepada Allah
berserta dengan segala amal perbuatannya." Rasulullah S.A.W bertanya lagi,
"Adakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah,
"Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu."
Maka
bersabda Rasulullah S.A.W : "Wahai Aisyah, sesungguhnya sehebat-hebat
keadaan mayat ialah ketika orang yang memandikan masuk ke rumahnya untuk
emmandikannya. Maka keluarlah cincin di masa remaja dari jari-jarinya dan ia
melepaskan pakaian pengantin dari badannya. Bagi para pemimpin dan fuqaha, sama
melepaskan serban dari kepalanya untuk dimandikan.
Di kala
itu rohnya memanggil, ketika ia melihat mayat dalam keadaan telanjang dengan
suara yang seluruh makhluk mendengar kecuali jin dan manusia yang tidak
mendengar. Maka berkata roh, "Wahai orang yang memandikan, aku minta
kepadamu kerana Allah, lepaskanlah pakaianku dengan perlahan-lahan sebab di
saat ini aku berehat dari kesakitan sakaratul maut." Dan apabila air
disiram maka akan berkata mayat, "Wahai orang yang memandikan akan roh
Allah, janganlah engkau menyiram air dalam keadaan yang panas dan janganlah
pula dalam keadaan sejuk kerana tubuhku terbakar dari sebab lepasnya roh,"
Dan jika merea memandikan, maka berkata roh: "Demi Allah, wahai orang yang
memandikan, janganlah engkau gosok tubuhku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka
dengan keluarnya roh."
Apabila
telah selesai dari dimandikan dan diletakkan pada kafan serta tempat kedua
telapaknya sudah diikat, maka mayat memanggil, "Wahai orang yang
memandikanku, janganlah engkau kuat-kuatkan dalam mengafani kepalaku sehingga
aku dapat melihat wajah anak-anakku dan kaum keluargaku sebab ini adalah
penglihatan terakhirku pada mereka. Adapun pada hari ini aku dipisahkan dari
mereka dan aku tidakakan dapat berjumpa lagi sehingga hari kiamat."
Apabila
mayat dikeluarkan dari rumah, maka mayat akan menyeru, "Demi Allah, wahai
jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda, maka janganlah kamu
menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah menyakiti mereka.
Sesungguhnya pada hari ini aku akan dikeluarkan dari rumahku dan meninggalkan
segala yang kucintai dan aku tidak lagi akan kembali untuk
selama-lamanya."
Apabila
mayat diletakkan ke dalam keranda, maka berkata lagi mayat, "Demi Allah,
wahai jemaahku, janganlah kamu percepatkan aku sehingga aku mendengar suara
ahliku, anak-anakku dan kaum keluargaku. Sesungguhnya hari ini ialah hari
perpisahanku dengan mereka sehingga hari kiamat."
