CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA
Wanita
itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang
masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan
bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka
tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah
nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di
kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang
bernama Sakhr :
"Setiap
mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih
teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu
ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh
diriku."
Setelah
Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan
untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang
putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dna dididik berjuang dengan berani.
Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan
kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan
takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada
tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur
untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk
menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa
telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam
perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan
pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan tentera
Islam.
Dengarlah
nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan perang,
"Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian
kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia,
sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang
wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah
memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturuna kamu,
dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang
disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu.
Ketahuilah bahawasaya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang
binasa."
Kemudian
Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai
orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah
kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang
beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda
yang disayanginya.
Seterusnya
Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan
selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua
pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api
pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang
bergejolak, masuklah akmu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi
perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung
yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh
esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing
untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga
Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas
panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja
semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada
hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam
melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat
tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .
Putera-putera
Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat
dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan
pedang, salah seorang dari mereka bersyair,
"Hai
saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil
kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya
bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian
ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak
kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang
berapi-api ia bersyair,
"Demi
Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib
ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung
dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar
musnah."
Anak
Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
"Sungguh
ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah
menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat
seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri Mari! Segera
memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri Dapatkan
kemenangan yang bakal membawakegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian
yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."
Akhir
sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya.
Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah
aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana 'Amru
yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang
berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan musnah mangsa oleh
senjataku."
Bergelutlah
keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga
diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran
terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada
mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan,
sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak
itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata
dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan
tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lannya. Kesempatan
ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang
bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang
menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi
merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian
kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat
Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur.
Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih
kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang
adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang
menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui
syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak
bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala
puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku
mengahrapkan darii Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat
tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa
kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan
meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa
peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada
yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid."